SHAH ALAM:Orang ramai yang hendak pulang ke kampung menyambut Aidilfitri dinasihatkan agar memandu secara berhemah dan berhati-hati di jalan raya bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setiap pemandu perlu mengambil langkah berwaspada agar selamat tiba ke destinasi masing-masing.
“Menjelang Hari Raya Aidilfitri, ramai yang akan pulang ke kampung. Kita minta para pemandu supaya sentiasa berwaspada bagi mengelakkan kemalangan kerana angka itu sudah meningkat, jadi kita harus elakkan.
“Itu sebagai pesan kepada semua kerana kita nak pergi ini untuk (eratkan) silaturahim sempena Aidilfitri tetapi bila dah kemalangan, ia akan susahkan bukan sahaja keluarga kita tetapi juga sanak saudara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama lebih 1,000 jemaah di Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16 di sini.
Beliau sempat beramah mesra dengan jemaah yang hadir sebelum bergerak ke Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor bagi meninjau persiapan Aidilfitri orang ramai.
Perdana Menteri, yang tiba pada 2.30 petang, meluangkan masa kira-kira 30 minit meninjau harga barangan dan situasi perniagaan di pusat beli-belah yang menjadi identiti Shah Alam serta tempat usahawan bumiputera mencari rezeki.
Anwar, yang diiringi Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari serta Exco Belia, Sukan dan Keusahawan negeri Mohd Najwan Halimi, juga dilihat bertanya khabar dengan peniaga selain bersalaman dengan pengunjung yang teruja dengan kehadiran Perdana Menteri ke kompleks perniagaan berusia 48 tahun itu.