Tuesday, 1, April, 2025
Utama Nasional PM hargai kiriman kad raya guru dan pelajar

PM hargai kiriman kad raya guru dan pelajar

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan terima kasih kepada pelajar dan guru atas kiriman kad raya kreatif sempena Aidilfitri.

Perdana Menteri berkata coretan dalam kad raya itu sangat bermakna sekali gus menambah keceriaan suasana perayaan.

“Terima kasih atas coretan anak-anak pelajar dan guru-guru sempena Aidilfitri ini. Ingatan kalian dalam kad raya yang begitu kreatif menceriakan sambutan Aidilfitri saya dan keluarga tahun ini.

“Saya doakan keafiatan dan kesejahteraan buat semua, insya-Allah,” katanya menerusi hantaran video di Facebook rasminya hari ini.

Menerusi video berdurasi lebih dua minit itu, Anwar turut membaca beberapa kad raya antaranya daripada Sekolah Kebangsaan Desa Bakti (Pendidikan Khas) dan ada juga pelajar yang mengambil kesempatan memohon tandatangan Perdana Menteri sebagai kenangan.

Beliau juga memohon maaf kerana tidak dapat membalas semua kad raya yang dikirimkan.

“Kepada semua anak-anak yang begitu baik budi, pesan pula tu sila balas, jangan tak balas, kalau tak dapat balas semua, mohon maaf,” kata Anwar.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com