Tuesday, 8, April, 2025
Utama Nasional Malaysia galakan pelaburan dalam usaha pembinaan semula Syria

Malaysia galakan pelaburan dalam usaha pembinaan semula Syria

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Malaysia komited untuk meningkatkan hubungan dua hala khususnya dalam bidang ekonomi, dan bersedia menggalakkan syarikat-syarikat Malaysia untuk melabur serta menyumbang kepada usaha pembinaan semula Syria.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dinyatakan susulan pembentukan kerajaan Syria yang baharu.

Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Presiden Syria Ahmed al-Sharaa.

“Presiden al-Sharaa juga telah menjemput saya untuk melawat Syria sebagai usaha mengeratkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Pada 29 Mac lepas, Syria secara rasmi mengumumkan barisan Kabinet baharu dengan Presiden Ahmed al-Sharaa menegaskan komitmen kerajaan untuk membangunkan semula institusi negara berlandaskan kebertanggungjawapan dan ketelusan, lapor Anadolu Ajansi.

Sebelum ini kerajaan sementara yang diketuai Perdana Menteri Mohammed al-Bashir telah dilantik untuk tempoh tiga bulan selepas rejim Bashar al-Assad digulingkan oleh pasukan anti-rejim yang dipimpin oleh al-Sharaa pada Disember lepas.

Al-Sharaa kemudiannya diumumkan sebagai Presiden bagi tempoh peralihan pada akhir Januari.

Assad yang memerintah Syria selama hampir 25 tahun, melarikan diri ke Rusia selepas kumpulan anti-rejim menguasai Damsyik pada 8 Dis, sekali gus menamatkan pemerintahan Parti Baath yang telah berkuasa sejak 1963.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com