Tuesday, 8, April, 2025
Utama Nasional Negara ASEAN perlu bentuk kesepakatan dalam isu tarif diumum AS

Negara ASEAN perlu bentuk kesepakatan dalam isu tarif diumum AS

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA:Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar negara ASEAN membentuk satu kesepakatan dalam isu tarif yang diumumkan Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata usaha itu perlu dilakukan bagi memastikan rundingan dan perbincangan yang bakal dijalankan mempunyai asas yang kukuh.

Katanya, meskipun pengumuman tarif oleh Presiden AS Donald Trump dibuat dengan asas yang dipertikaikan, negara-negara ASEAN tidak boleh memandang ringan perkara itu terutamanya dalam suasana ekonomi dan politik dunia yang tidak menentu.

“Semalam saya menjelaskan dengan panjang lebar mengenai keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Menangani Pengumuman Tarif oleh Presiden Trump yang turut dihadiri oleh seluruh Jemaah Menteri.

“Kita tidak boleh pandang ringan walaupun kita tahu ini agak aneh kerana negara yang sebelum ini mendukung semangat perdagangan bebas serta menubuhkan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Perjanjian Am mengenai Tarif dan Perdagangan (GATT) iaitu negara-negara kaya seperti Amerika Syarikat, kini mengambil langkah berbeza.

“Inilah yang saya maksudkan sebagai ‘post normal times’ apabila dasar politik dan ekonomi dilaksanakan secara tidak dijangka termasuk pengumuman tarif dengan asas yang sangat lemah,” kata beliau pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Anwar turut menyifatkan kaedah penentuan tarif yang diumumkan Trump sebagai tidak teliti, dengan menyebut bahawa ada negara pulau kecil yang turut tersenarai dalam langkah itu walaupun “hanya dihuni penguin.”

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan memilih untuk mengambil pendekatan sederhana terlebih dahulu memandangkan ruang untuk perbincangan dan perundingan masih terbuka selain wujud beberapa pengecualian yang perlu dikenal pasti secara terperinci.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com