Tuesday, 15, April, 2025
Utama Nasional Bina masjid perlu niat yang betul

Bina masjid perlu niat yang betul

oleh Ammar Haziq

BUKIT MERTAJAM: Umat Islam diingatkan agar tidak bermegah dan menunjuk-nunjuk dengan pembinaan masjid sebaliknya ia perlu berlandaskan niat serta penghayatan Islam yang betul.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata masjid yang dibangunkan dengan landasan yang baik dan tepat akan menguatkan lagi keimananan serta ketaqwaan umat Islam sekali gus menyatupadukan masyarakat di negara ini.

“Mendirikan masjid tanggungjawab semua…ia menjadi markas kita belajar solat, menunaikan zakat, belajar asas agama. Institusi Islam itu mesti dikaitkan dengan bantuan serta keprihatinan kepada masyarakat.

“Al-Quran ada menyebut, ada masjid diasaskan kerana ketakwaan kepada Allah SWT, nilainya murni, membawa perpaduan dalam masyarakat, memahat keimanan, menjaga masyarakat dan bukan untuk menunjuk kehebatan dan kemegahan.

“…tetapi kalau niatnya (pembinaan masjid) tidak betul, perjalanannya tidak membawa penghayatan Islam serta kefahaman yang baik, maka masjid itu boleh menjadi tempat kerosakan,” katanya pada Majlis Peluncuran Pembinaan Semula Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri Sumber Manusia Steven Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Pada masa sama, Anwar berkata masjid hendaklah dijiwai dan dijadikan sebagai medan pembinaan takwa terutamanya dalam kalangan pemimpin yang sering diuji dengan sikap buruk seperti tamak haloba dan rasuah.
Beliau turut menyentuh mengenai cabaran dalam kepimpinan apabila segelintir individu sering kali melampaui batas selepas diberi amanah dan kuasa.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan kepercayaan rakyat yang memberi mandat untuk memimpin harus dibalas dengan amanah, kejujuran dan kesederhanaan bukan dengan menindas atau menyeleweng harta rakyat.

Anwar berkata jika seseorang pemimpin itu diberi amanah, ia adalah tanggungjawab dan bukan lesen untuk mengambil kesempatan sehingga menjadi tamak dan hilang arah serta akhlak.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com