BACHOK – Langkah Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif import timbal balas ke atas beberapa negara, termasuk Malaysia, boleh memberi kesan terhadap hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia dengan China , kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, walaupun Malaysia dikecualikan buat sementara waktu daripada pelaksanaan tarif tersebut, langkah AS mengenakan tarif dan cukai import tinggi itu tetap menjejaskan ekonomi Malaysia yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa.
“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi China malah turut memberi kesan kepada Malaysia. Apabila tarif tinggi dikenakan kepada China, ia secara tidak langsung turut menjejaskan hubungan perdagangan dan pelaburan kita dengan negara tersebut,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama, di sini, pada Sabtu.
Anwar menegaskan bahawa Malaysia, sebagai negara perdagangan dan pengeksport, terdedah kepada sebarang ketidaktentuan dalam dasar perdagangan global .
“Kita merupakan negara eksport dan dagang. Apabila AS menetapkan tarif tinggi terhadap China, sudah tentu kita juga akan terkesan.
“Mujurlah AS menangguhkan pelaksanaan tarif tersebut terhadap beberapa negara ASEAN, termasuk Malaysia, buat sementara waktu. Namun, China tetap dikenakan tarif itu,” katanya.
Pada 2 April lalu, Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif import baru yang melibatkan tarif asas sebanyak 10 peratus kepada semua negara.
Duti lebih tinggi sebanyak 24 peratus ke atas beberapa negara, termasuk Malaysia.
Langkah ini, menurut Perdana Menteri, mencetuskan ketidaktentuan dalam hubungan perdagangan global dan memberi kesan kepada rantaian bekalan yang melibatkan banyak negara, termasuk Malaysia.