KUALA LUMPUR:Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan segera susulan teguran oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengenai masalah liputan internet dan telekomunikasi yang tidak memuaskan di 27 lokasi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
MCMC dalam kenyataan berkata beberapa langkah proaktif telah diambil oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi seperti yang diarahkan oleh MCMC bagi memastikan perkhidmatan telekomunikasi di kawasan DUN Ayer Kuning dan lokasi tumpuan Pilihan Raya Kecil (PRK) berada pada tahap memuaskan.
Katanya, beberapa lokasi telah dikenal pasti sebagai kawasan keutamaan, termasuk Pusat Penamaan Calon di Dewan Merdeka Tapah; 21 Pusat Mengundi di sekitar DUN Ayer Kuning; Pusat Media di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang; dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Air Kuning dan NADI PPR Sri Bidor.
“Setakat jam 6 petang semalam, semua penyedia perkhidmatan iaitu CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL telah mengemukakan pelan tindakan terkini yang ditambah baik kepada MCMC.
“Antara inisiatif penambahbaikan yang telah dirancang termasuk pengoptimuman stesen pemancar sedia ada; pemasangan pemancar sementara; dan perkongsian infrastruktur antara penyedia perkhidmatan,” katanya.
Selain itu, menurut kenyataan itu, kaunter aduan MCMC turut dibuka di Pejabat Penerangan Daerah
(PPD) Batang Padang, Tapah dari 12 hingga 26 April 2025 bagi mendekati masyarakat setempat.
Katanya, kaunter tersebut beroperasi setiap hari bermula 9 pagi hingga 9 malam bagi menerima sebarang aduan berkaitan telekomunikasi, pos dan isu lain di bawah bidang kuasa MCMC.
MCMC akan terus memantau prestasi liputan secara harian dan akan menyampaikan sebarang aduan baharu terus kepada penyedia perkhidmatan untuk tindakan segera.
Sebarang kelewatan atau ketidakpatuhan terhadap arahan ini akan dikenakan tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan undang-undang yang terpakai.