ALOR SETAR – Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) merayu kerajaan untuk memberikan tempoh yang mencukupi sebelum melaksanakan cukai perkhidmatan sebanyak lapan peratus ke atas kerja-kerja pembinaan, yang dijadualkan berkuat kuasa mulai 1 Mei ini.
Presiden PKMM, Datuk Mohd. Rosdi Ab. Aziz , menyatakan bahawa pelaksanaan cukai ini bakal memberi kesan besar kepada ramai kontraktor, terutama melibatkan projek-projek bernilai RM300,000 ke atas yang sebelum ini tidak pernah dikenakan cukai tersebut.
“Cukai perkhidmatan ini akan menjadi kos tambahan kepada kontraktor, terutama bagi projek yang sedang dalam pelaksanaan. Dalam harga tender yang telah ditawarkan kepada kerajaan, kami tidak mengambil kira tambahan lapan peratus ini. Ini pastinya akan memberi kesan besar kepada kos projek,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan PKMM Kedah ke-48 , di sini.
PKMM mencadangkan supaya kerajaan memberikan tempoh penangguhan dua hingga tiga tahun bagi membolehkan kontraktor menyesuaikan harga tender masa depan dengan perubahan dasar tersebut.
“Kami juga merayu agar cukai ini hanya dikenakan kepada projek-projek baru , bukannya pada projek yang sedang dalam pelaksanaan. Langkah ini akan mengurangkan impak besar terhadap sektor pembinaan,” tambah Mohd. Rosdi.
Beliau turut mengingatkan bahawa sektor pembinaan kini terpaksa berhadapan dengan pelbagai kenaikan kos, termasuk
Kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada enam ke lapan peratus, yang memberi impak ketara kepada projek bernilai besar.
Menurutnya, kenaikan gaji minima daripada RM1,500 kepada RM1,700, yang meningkatkan kos pekerja, terutama dalam projek jangka panjang juga memberikan kesan.
“Walaupun peratusannya kelihatan kecil, kos tambahan seperti ini sangat besar impaknya, terutamanya bagi projek bernilai puluhan atau ratusan juta ringgit,” jelasnya.
PKMM turut meluahkan kebimbangan terhadap kemungkinan pertambahan projek-projek tenat atau terbengkalai akibat kenaikan kos bahan binaan dan beban cukai tambahan.
“Sekiranya kontraktor tidak dapat menyerap kos tambahan ini, ia bukan sahaja menyebabkan kelewatan projek, malah kualiti projek juga berisiko terjejas kerana kontraktor mungkin hanya mahu menyiapkan projek tanpa mengutamakan spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.
Sebagai langkah tambahan, PKMM meminta kerajaan mengkaji semula pemansuhan kaedah Pengiraan Perubahan Harga (VOP) yang dihentikan sejak 2022.
“VOP sebelum ini membantu kontraktor menyerap kenaikan harga bahan binaan. Ia bukan sahaja menguntungkan kontraktor, malah kerajaan juga menerima projek yang berkualiti tinggi tanpa risiko kelewatan,” katanya lagi.