KUALA LUMPUR – Pemergian mantan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi , meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat Malaysia yang mengenang beliau sebagai seorang negarawan yang membumi dan penuh jasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim , turut menyampaikan penghormatan kepada Allahyarham melalui sebuah hantaran di media sosial yang menyentuh hati.
Dalam hantaran tersebut, beliau mendedikasikan sebuah video berdurasi hampir seminit, memaparkan gambar kenangan bersama Pak Lah, berlatarkan lagu Pergi oleh Aizat Amdan.
“Susuk Pak Lah pasti meninggalkan bekas yang mendalam kepada rakyat dan negara. Berehatlah, Pak Lah. Malaysia ternyata terhutang budi atas jasa sang negarawan yang membumi,” tulis Anwar dalam kapsyen tersebut.
Sebagai tanda penghormatan tertinggi, jenazah Allahyarham telah disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, melalui Istiadat Pengebumian Negara pada kira-kira 2.30 petang semalam .
Bekas Menteri, Khairy Jamaluddin, yang juga menantu Allahyarham, menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan atas penghormatan yang diberikan.
“Kami sekeluarga amat tersentuh dengan kemuliaan kata Datuk Seri kepada ayahanda Pak Lah. Penghargaan juga kepada kerajaan kerana memberi penghormatan istimewa dengan mengizinkan jenazahnya disemadikan di Makam Pahlawan,” katanya.
Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam Isnin selepas dimasukkan ke hospital pada pagi Ahad akibat kesukaran bernafas.
Hantaran Perdana Menteri di media sosial menerima sambutan hangat, dengan 43,700 ‘like’ dan lebih 492,000 tontonan di Instagram, serta 30,000 ‘like’ di Facebook, mencerminkan penghormatan rakyat terhadap jasa besar Allahyarham.
Tun Abdullah dikenang sebagai seorang pemimpin yang menjunjung kesederhanaan dan integriti dalam kepimpinan. Pendekatan beliau melalui Islam Hadhari membuka jalan kepada pemahaman Islam yang progresif dan inklusif dalam masyarakat majmuk.
Beliau juga memperkukuh institusi negara, memberi ruang kepada reformasi politik dan sosial, serta membawa kesejahteraan kepada rakyat melalui dasar-dasar yang berwawasan.
Pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah kehilangan besar buat negara.
Namun, legasi beliau sebagai seorang pemimpin yang membumi, berjiwa besar, dan penuh integriti akan terus dikenang oleh rakyat Malaysia.