BALING – Seorang lelaki warga emas yang juga pemilik dua ekor anjing Rottweiler , dijatuhi hukuman denda sebanyak RM8,500 oleh Mahkamah Majistret Baling selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan kecuaian sehingga membiarkan haiwan peliharaannya menyerang beberapa mangsa.
Hakim Najwa Che Mat menjatuhkan hukuman denda RM1,700 bagi setiap pertuduhan, dengan alternatif dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda terhadap tertuduh, Chong Shen Chong, 69, seorang ahli perniagaan.
Kes tersebut melibatkan serangan oleh dua ekor anjing Rottweiler milik tertuduh di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil , pada 1 April lalu , bermula sekitar 4.45 pagi sehingga 7 pagi.
Mangsa serangan melibatkan Khadijah Abdullah, 66, diserang pada 4.45 pagi, Ahmed Abdeltawwad Moustafa, 28, warganegara Mesir, diserang sekitar 6 pagi,Asyida Nizam Ahmad, 50, diserang pada 6.40 pagi, Shaik Peer Mohamed Mohamed Mydin, 51, dan Goh Bing Hak, 74, menjadi mangsa pada 7 pagi.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md Salleh , manakala tertuduh diwakili Peguam Alvin Kua Tze Min.
Dalam rayuannya, pihak pembelaan memohon mahkamah agar mengecualikan hukuman penjara atas faktor usia tertuduh yang uzur, disahkan menghidap kemurungan serta komplikasi jantung yang memerlukan rawatan sepanjang masa.
Peguam Alvin Kua turut menyatakan bahawa tertuduh telah menunjukkan rasa kesal atas kesalahannya, malah anjing Rottweiler yang terlibat telah dilupuskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah .
Hakim Najwa menjatuhkan hukuman denda terhadap tertuduh, yang akhirnya membayar denda tersebut.
Mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh yang menjimatkan masa mahkamah dan komitmennya untuk memastikan kejadian sama tidak berulang.