KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan pada Khamis.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau, Anwar turut menzahirkan harapan agar pelajar terus berusaha dan menuntut ilmu hingga ke peringkat lebih tinggi.
“Teruskan usaha dan tekad kalian untuk menuntut ilmu ke peringkat lebih tinggi. Bagi yang kurang bernasib baik, usah berputus asa,” katanya.
Beliau turut menasihati pelajar yang tidak mencapai keputusan cemerlang agar memanfaatkan pelbagai laluan pendidikan yang disediakan kerajaan.
“Kerajaan MADANI sentiasa komited membantu anak-anak Malaysia melalui sistem pendidikan tinggi yang berkualiti, selain inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang membuka peluang ke arah masa depan lebih cerah,” katanya lagi.
Sementara itu, keputusan peperiksaan SPM 2024 mencatatkan pencapaian terbaik sejak 2013, dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.49 mata berbanding 4.60 mata pada 2023.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan, berkata seramai 14,179 calon atau 3.7 peratus daripada keseluruhan calon memperoleh gred cemerlang A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.
Menurutnya, seramai 353,933 calon atau 94.0 peratus layak menerima sijil, meningkat berbanding 93.5 peratus pada 2023.
Bagi peperiksaan tahun ini, seramai 402,918 calon mendaftar, meningkat 6,994 calon atau 1.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.