Thursday, 8, May, 2025
Utama Nasional Alumni Maktab Mahmud terima sumbangan RM300,000 daripada PM  

Alumni Maktab Mahmud terima sumbangan RM300,000 daripada PM  

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyumbangkan RM300,000 kepada inisiatif Darul Maahad buat Persatuan Alumni Maktab Mahmud Kedah dalam usaha memperkukuh pendidikan Islam dan melahirkan lebih ramai ulama serta umara.  

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, ketika menghadiri Majlis Perasmian Bangunan Rumah Maahad serta Jamuan Hari Raya Persatuan Alumni Maktab Mahmud Kedah di sini, hari ini.  

Menurut Fadhlina, Kementerian Pendidikan (KPM) turut memberikan sumbangan khas RM100,000 kepada Maktab Mahmud, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan kepada institusi ini RM400,000.  

“Maktab Mahmud sentiasa dekat di hati Perdana Menteri, dan beliau menyampaikan salam kepada murid, guru, warga sekolah serta alumni institusi ini,” katanya.  

Beliau menegaskan bahawa Kerajaan MADANI komited untuk terus mempertahankan syiar Islam dengan memastikan institusi pendidikan seperti Maktab Mahmud tidak dipinggirkan.  

Fadhlina turut menyeru agar kebitaraan murid Maktab Mahmud dalam penguasaan Bahasa Arab terus dipertahankan. Selain itu, usaha memperkukuh penghayatan Hadis 40 perlu diteruskan bagi memastikan pelajar mendapat manfaat penuh daripada pendidikan Islam yang diterapkan.  

“Maktab Mahmud memiliki peranan penting dalam membentuk generasi masa depan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga mendalami ilmu agama secara menyeluruh,” ujarnya.  

Dalam ucapan beliau, Fadhlina turut mengucapkan tahniah kepada negeri Kedah kerana mencatat peningkatan prestasi dalam peperiksaan SPM 2024 .  

“Kejayaan pelajar Maktab Mahmud dalam akademik dan agama menyumbang kepada peningkatan Gred Purata Negeri, dan ini adalah bukti komitmen institusi ini terhadap kecemerlangan pendidikan,” tambahnya.  

Sumbangan RM300,000 daripada Perdana Menteri, ditambah dengan sokongan KPM, memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh pendidikan Islam di Malaysia. 

Maktab Mahmud terus berperanan sebagai institusi unggul dalam melahirkan pelajar yang berkualiti tinggi, memastikan syiar Islam berkembang seiring dengan kejayaan akademik.  

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com