Thursday, 8, May, 2025
Utama Tech Penguasaan digital dan AI kunci kejayaan masa depan – PM

Penguasaan digital dan AI kunci kejayaan masa depan – PM

oleh Ammar Haziq

IPOH: Pendidikan abad ke-21 menuntut perubahan segera, termasuk penguasaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) seawal peringkat sekolah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan, teknologi digital dan AI adalah elemen penting dalam membentuk masa depan negara, dan pendekatan konvensional dalam sistem pendidikan perlu dirombak agar selari dengan keperluan semasa serta perubahan landskap ekonomi global.

“Digital dan AI adalah teknologi masa depan. Jika pelajar mahu berjaya, mereka perlu menguasainya tanpa mengira bidang. Sebab itu kita sudah mula dengan fakulti AI di universiti, tetapi sekolah juga perlu bertindak segera.

“Kita tidak boleh tunggu lima tahun baru nak mula. Kalau tidak mampu laksana di 100 sekolah sekaligus, mulakan dengan 50. Apa yang penting ialah keberanian untuk melakukan perubahan,” katanya ketika berucap pada Majlis Santuni Kasih Bersama Pelajar-Pelajar Parlimen Tambun, di sini pada Jumaat.

Anwar berkata, perkembangan pesat dalam bidang semikonduktor, pusat data dan AI telah membuka ruang pelaburan besar ke dalam negara, namun penguasaan ilmu dan kemahiran terkini dalam kalangan pelajar adalah faktor utama untuk memastikan kejayaan jangka panjang.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris dalam perdagangan antarabangsa, selain menyifatkan penguasaan Bahasa Cina kini sebagai satu keperluan, sejajar dengan pengaruh ekonomi negara China.

Mengulas keperluan tenaga kerja, Anwar berkata Malaysia berdepan kekurangan jurutera, sekali gus memberi kesan terhadap keupayaan negara memenuhi permintaan syarikat pelabur terutamanya dalam sektor berteknologi tinggi.

“Sekarang kita sudah ada syarikat-syarikat besar dalam AI, digital dan semikonduktor, tetapi kalau unjuran semasa berterusan, kita akan kekurangan kira-kira 30,000 jurutera,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa fahaman sempit berasaskan kaum dan agama tidak seharusnya dibiarkan membarah dalam sistem pendidikan, apatah lagi dalam kalangan generasi muda.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com