Thursday, 8, May, 2025
Utama Nasional Pempengaruh Media Sosial Disiasat MCMC Berhubung Penyebaran Maklumat Palsu

Pempengaruh Media Sosial Disiasat MCMC Berhubung Penyebaran Maklumat Palsu

oleh Ammar Haziq

CYBERJAYA:Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan telah menjalankan siasatan terhadap seorang pempengaruh media sosial susulan aduan yang diterima daripada orang awam di bawah peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

Menurut kenyataan rasmi MCMC, dua sesi rakaman percakapan serta siasatan lanjut telah diadakan di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya pada 25 dan 28 April 2025 setelah menerima aduan rasmi mengenai perkara tersebut.

Siasatan awal mendapati kandungan yang dikaitkan dengan pempengaruh berkenaan melibatkan penyebaran maklumat palsu yang mengaitkan Institusi Diraja dengan dakwaan tidak berasas.

Selain itu, individu tersebut juga didakwa cuba mendedahkan maklumat peribadi individu lain tanpa kebenaran dengan niat menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu pihak tertentu.

“Tindakan ini berpotensi mencetuskan kegusaran awam, menyemarakkan fitnah serta mengundang ancaman terhadap keselamatan individu yang terlibat. Ia juga jelas melanggar undang-undang komunikasi dan perlindungan data peribadi,” menurut kenyataan itu.

MCMC menegaskan bahawa setiap aduan akan disiasat secara menyeluruh tanpa mengira status, populariti atau pengaruh mana-mana individu.

Semua siasatan dilakukan secara profesional mengikut prosedur yang adil serta berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah AKM 1998 sebagai langkah awal pengumpulan maklumat berkaitan.

Dalam pada itu, MCMC turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati ketika menyebarkan sebarang kandungan, terutamanya yang menyentuh isu 3R (agama, kaum dan Institusi Diraja), bersifat mengancam, mengganggu atau menceroboh privasi individu. Tindakan sebegitu merupakan kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan tegas di bawah peruntukan sedia ada.

Orang ramai digesa untuk melaporkan sebarang kandungan yang mencurigakan bagi memastikan ruang digital negara kekal selamat dan harmoni.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com