Wednesday, 7, May, 2025
Utama Nasional Indeks kebebasan media dunia 2025: Malaysia naik 19 anak tangga ke kedudukan ke-88

Indeks kebebasan media dunia 2025: Malaysia naik 19 anak tangga ke kedudukan ke-88

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Malaysia mencatat peningkatan dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2025 , melonjak 19 anak tangga ke kedudukan ke-88 berbanding tahun lalu, menurut laporan terkini oleh Reporters Without Borders (RSF) .

Negara ini memperoleh skor 56.09 mata , satu pemulihan selepas kejatuhan mendadak pada 2024 , apabila Malaysia merosot 34 tempat ke kedudukan ke-107 dengan skor 52.07 mata .

Bagaimanapun, kedudukan baharu ini masih belum mengatasi pencapaian 2023 , di mana Malaysia berada pada tangga ke-73 .

Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia berada di tempat kedua selepas Thailand (ke-85) , namun mengatasi negara lain seperti Brunei (ke-97), Filipina (ke-116), Singapura (ke-123), Indonesia (ke-127), Laos (ke-150), Kemboja (ke-161), Myanmar (ke-169), dan Vietnam (ke-173) .

Walaupun mencatat peningkatan, RSF masih mengklasifikasikan landskap media Malaysia sebagai “situasi bermasalah” , menunjukkan cabaran berterusan dalam kebebasan media di negara ini.

Pada Februari lalu , kerajaan memperkenalkan Kod Etika Kewartawanan sebagai langkah menangani cabaran yang dibawa oleh media sosial .

Selain itu, pada Mac 2025 , Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia telah diluluskan di Parlimen , membuka jalan kepada penubuhan badan bebas untuk mengawasi industri media dan meningkatkan ketelusan laporan berita di Malaysia.

Walaupun terdapat usaha ke arah pembaikan, RSF dan beberapa badan pemantau lain masih menggesa Malaysia memansuhkan undang-undang tinggalan penjajah , seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 .

Undang-undang ini dianggap menghalang kebebasan media , menjadi antara faktor yang menyebabkan Malaysia masih dikategorikan dalam situasi bermasalah dalam laporan RSF.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com