Saturday, 10, May, 2025
Utama Negeri Tiket LIMA’25 laris, lebih 40,000 telah terjual

Tiket LIMA’25 laris, lebih 40,000 telah terjual

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) mencetuskan lonjakan permintaan tiket feri, dengan lebih 40,000 tiket perjalanan dua hala dari Kuala Kedah, Kuala Perlis dan Langkawi telah terjual setakat ini.

Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid, memaklumkan bahawa bagi memenuhi permintaan yang meningkat, pihaknya telah menambah 100 trip feri sepanjang tempoh 20 hingga 25 Mei 2025.

Meskipun acara LIMA’25 dijadualkan berakhir pada 24 Mei, pihak Ferry Line Ventures melanjutkan operasi sehari lagi sehingga 25 Mei bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang keluar dari Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis tanpa kesesakan.

“Setakat ini, masih terdapat baki tiket sekitar 10,000, dan trip tambahan akan dibuat berdasarkan permintaan.

“Jika jumlah permintaan meningkat, perjalanan feri dari Kuala Perlis ke Langkawi boleh dilanjutkan sehingga 12 tengah malam,” katanya dalam sidang media di Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah, semalam.

Norhafiz turut menegaskan bahawa pihaknya mematuhi semua keperluan keselamatan yang ditetapkan oleh Jabatan Laut, termasuk penyediaan jaket keselamatan dan lampu pandu arah, bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin sepanjang perjalanan.

“Penyelenggaraan feri telah dilakukan lebih awal sebelum tempoh ini. Jika berlaku isu teknikal, sebuah feri standby sentiasa bersedia untuk menggantikan perkhidmatan, bagi mengelakkan sebarang gangguan operasi,” katanya.

Norhafiz turut menjelaskan bahawa pusat kawalan operasi mengurus aliran keluar masuk penumpang secara sistematik, bagi memastikan perjalanan berjalan lancar.

“Setiap jam, satu trip feri beroperasi. Jika permintaan bertambah, slot perjalanan akan ditambah dan dikemas kini di laman web,” katanya.

Beliau turut menyarankan penumpang supaya membeli tiket secara dalam talian melalui aplikasi Cuti-Cuti Langkawi, bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan tempahan mereka berjalan lancar.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com