KOTA KINABALU:Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan kerja sehari ke Sabah dengan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu.
Anwar tiba di istana sekitar jam 11 pagi, sejurus mendarat di Terminal Dua, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 10.35 pagi menaiki pesawat khas.
Beliau menandatangani buku tetamu sebelum mengadakan pertemuan empat mata bersama Tun Musa di Dewan Kunjungan Khas.
Kunjungan itu menandakan pertemuan rasmi pertama antara kedua-dua pemimpin sejak pelantikan Tun Musa sebagai Yang Dipertua Negeri pada Januari lalu.
Perbincangan selama setengah jam itu disusuli jamuan tengah hari di bilik santapan istana.
Selesai acara rasmi di Kota Kinabalu, Perdana Menteri meneruskan perjalanan ke Tawau bagi merasmikan Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.
Antara agenda utama di majlis itu ialah Penyerahan Projek Siap Tamu Desa Sabah, Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Usahawan Sabah serta Peluncuran Program Solar MADANI iaitu inisiatif tenaga mampan untuk rakyat.
Anwar turut ditemani Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, bagi meninjau pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan di reruai jabatan dan agensi kerajaan sempena program tiga hari yang bermula Jumaat lalu.
Perdana Menteri dijadual pulang ke Kuala Lumpur selepas menyempurnakan siri lawatan kerja padat yang memberi tumpuan kepada pembangunan rakyat dan kesejahteraan negeri bawah bayu.