Tuesday, 13, May, 2025
Utama Tech Dron hantar ubat tarik perhatian pengunjung PMR 2025 di Tawau

Dron hantar ubat tarik perhatian pengunjung PMR 2025 di Tawau

oleh Ammar Haziq

TAWAU: Projek penghantaran ubat-ubatan menggunakan dron yang diperkenalkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjadi antara tarikan utama sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 Mei lalu.

Teknologi dron berkenaan dipamerkan di reruai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Dataran Majlis Perbandaran Tawau dan mencuri perhatian pengunjung, khususnya dalam kalangan penduduk luar bandar yang bakal menerima manfaat daripada projek itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meluangkan masa mengunjungi reruai NADI dan menyaksikan secara dekat demonstrasi dron ketika merasmikan majlis penutupan PMR 2025 Sabah, hari ini.

Menurut kenyataan MCMC, inisiatif penghantaran ubat ke NADI menggunakan dron itu adalah projek perintis yang dijalankan bersama Kementerian Kesihatan sebagai rakan utama serta kerjasama strategik bersama MRANTI dan penyedia teknologi tempatan.

“Inisiatif ini bertujuan membuktikan keberkesanan penghantaran ubat dari Klinik Kesihatan ke NADI terpilih di kawasan pedalaman yang sukar diakses, termasuk kawasan pulau dan lokasi yang tidak mempunyai jalan perhubungan yang baik.

“Fasa pertama dijangka dilaksanakan pada suku keempat tahun 2025 membabitkan dua NADI sebagai projek rintis,” kata kenyataan itu.

MCMC menjelaskan, projek ini menyokong usaha memperluaskan akses perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti dan inklusif melalui penggunaan teknologi seperti 5G dan kecerdasan buatan (AI).

Katanya, projek itu dirancang untuk diperluaskan ke 150 NADI pada tahun 2026 dan seterusnya ke 392 NADI menjelang 2027.

Selain demonstrasi dron, reruai NADI pada PMR 2025 Sabah turut menampilkan pelbagai perkhidmatan pintar berasaskan lima teras utama iaitu keusahawanan, kesihatan, pembelajaran sepanjang hayat, kesedaran teknologi maklumat serta perkhidmatan kerajaan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com