KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa siasatan menyeluruh dijalankan segera susulan kemalangan membabitkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak, pagi tadi.
Menerusi satu hantaran di platform X, Anwar turut menyeru agar bantuan sewajarnya disalurkan kepada mangsa yang terlibat serta keluarga mereka.
“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga semua anggota FRU yang terkorban dalam tragedi ini. Saya juga mendoakan agar mereka yang cedera segera pulih dan segala urusan dipermudahkan,” katanya.
Dalam kejadian menyayat hati itu, sembilan anggota FRU dilaporkan maut manakala dua lagi parah selepas trak dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan.