Thursday, 15, May, 2025
Utama Nasional Proses undi rakyat Malaysia di luar negara akan dipermudah

Proses undi rakyat Malaysia di luar negara akan dipermudah

oleh Ammar Haziq

MOSCOW:Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa proses pengundian bagi rakyat Malaysia yang berada di luar negara, khususnya di Rusia, akan dipermudah agar setiap pengundi yang layak dapat menunaikan hak mereka tanpa sebarang kekangan.

Beliau berkata, terdapat ramai rakyat Malaysia di luar negara termasuk dalam kalangan pelajar yang menghadapi kesukaran untuk mengundi disebabkan proses yang rumit serta kekangan sistem sedia ada.

“Saya maklum bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah sebuah suruhanjaya bebas, tetapi mengapa SPR tidak dapat memastikan setiap rakyat, tidak kira di mana mereka berada, dapat melaksanakan hak mengundi?

“Kita telah beri pandangan dan cadangan kepada SPR dan kita akan pastikan satu mekanisme lebih baik disediakan sebelum Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya dalam sesi Bertemu Rakyat Malaysia di Rusia sempena lawatan rasmi beliau ke negara ini bermula Selasa lalu.

Anwar berkata demikian sebagai respons kepada luahan pelajar Malaysia di negara itu yang berkongsi kesukaran untuk mengundi dan mengakses laman sesawang kerajaan berkaitan proses pengundian.

Menurut beliau, pelbagai sistem dan teknologi canggih kini boleh dimanfaatkan bagi memperkemas serta memudahkan proses pengundian rakyat Malaysia di luar negara.

“Sudah tiba masanya kita serius menangani perkara ini dan tidak membiarkan rakyat kita dinafikan hak hanya kerana berada di luar negara,” tambahnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com