Friday, 16, May, 2025
Utama Nasional Dunia perlu dialog peradaban yang bermaruah dan inklusif – PM

Dunia perlu dialog peradaban yang bermaruah dan inklusif – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan untuk memperkukuh dialog antara tamadun secara terbuka dan bermaruah, yang berasaskan penghormatan terhadap martabat, kekuatan serta kepelbagaian budaya setiap masyarakat.

Beliau menekankan bahawa keadilan, belas kasihan dan kewujudan bersama perlu dijadikan asas dalam menghadapi cabaran dunia pasca-normal yang semakin kompleks, serta terus menjadi tunjang kepada usaha mengekalkan keamanan dan kestabilan sejagat.

“Ia perlu merangkumi dialog peradaban menyeluruh, bukan satu budaya yang mengetepikan budaya yang lain, tapi pengiktirafan bersama kekuatan dan maruah. Dalam tempoh pasca normal ini, nilai-nilai seperti keadilan, belas ihsan dan kewujudan bersama tidak boleh diabaikan.

“Kita tidak boleh kehilangan jiwa maruah, nilai kemanusiaan dan rasa hormat antara satu sama lain, tanpa mengira kepercayaan yang berbeza, budaya yang berbeza,” katanya.

Anwar berkata demikian semasa menyampaikan syarahan umum bertajuk “ASEAN in a Multipolar World: Perspectives from Malaysia” di Moscow State Institute of International Relations (MGIMO) hari ini (3 petang waktu Malaysia). Sesi syarahan itu disiarkan di akaun Facebook beliau.

Anwar turut dianugerahkan ijazah kedoktoran kehormat daripada MGIMO sebagai pengiktirafan atas sumbangan beliau dalam mempromosikan keamanan global dan mengukuhkan kerjasama antarabangsa.

Merujuk kepada pertemuannya dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, Anwar berkata dialog itu menunjukkan semangat saling menghormati.

“Kami di sini atas jemputannya… daripada seorang pemimpin antarabangsa yang sangat penting kepada sebuah negara yang agak kecil di ASEAN, tapi kami diberikan perasaan dihormati, kesaksamaan dan rasa selesa, inilah sesuatu yang perlu dipupuk.

“Kita tidak percaya kepada unilateralisme. Kita perlu tunjukkan bahawa setiap komuniti, setiap negara, besar atau kecil, kaya atau miskin, mesti diberikan penghormatan dan pengiktirafan,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com