MOSCOW – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tindakan unilateral yang diambil oleh sesetengah negara hanya mencerminkan keangkuhan kuasa tanpa mengambil kira kepentingan negara kecil, sekali gus menggugat prinsip keadilan dalam hubungan antarabangsa.
“Kita perlu menunjukkan bahawa setiap masyarakat, setiap negara, sama ada kecil, kaya atau miskin, mesti diberi penghormatan dan pengiktirafan yang sewajarnya,” ujar Anwar ketika menyampaikan syarahan umum bertajuk “Bridging Worlds In A Fractured Age” di Moscow State Institute of International Relations (MGIMO).
Dalam majlis itu, Anwar turut menerima anugerah doktor kehormat daripada MGIMO sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam menegakkan keamanan sejagat serta memperkukuh hubungan antarabangsa.
Beliau menekankan bahawa hubungan dua hala bukan sekadar soal politik dan diplomasi semata-mata, tetapi turut merangkumi perdagangan, pelaburan dan kerjasama industri.
“Negara-negara perlu memastikan asas ekonomi mereka kukuh, tetapi nilai kemanusiaan tidak boleh diabaikan,” tegasnya, sambil merakamkan penghargaan terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin dan rakyatnya atas penghormatan yang diberikan kepada Malaysia serta layanan mesra terhadap delegasi negara.
Dalam syarahannya, Anwar turut menekankan prinsip kesaksamaan dalam diplomasi global, dengan menjadikan ASEAN sebagai contoh terbaik dalam mewujudkan hubungan yang menghormati kepelbagaian budaya dan bangsa.
“Di ASEAN, walaupun terdiri daripada 10 negara yang berbeza, kami saling hormat-menghormati, mendukung kesaksamaan dan inilah yang perlu ditonjolkan kepada dunia,” katanya.
Beliau turut menzahirkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh hubungan dua hala dengan Rusia, termasuk pertukaran pelajar dan penyelidik antara kedua-dua negara.
Menurutnya, terdapat hampir 400 pelajar Rusia yang menyambung pelajaran di Malaysia, manakala kira-kira 700 pelajar Malaysia berada di Rusia, mencerminkan hubungan akademik yang semakin kukuh.
MGIMO juga diiktiraf kerana menawarkan pengajian Bahasa Malaysia sebagai mata pelajaran, selaras dengan usaha memperluas pemahaman antara kedua-dua negara.