Friday, 16, May, 2025
Utama Nasional PM jumpa Mufti Besar Rusia, kukuhkan hubungan islam antarabangsa

PM jumpa Mufti Besar Rusia, kukuhkan hubungan islam antarabangsa

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan penting dengan Mufti Besar Rusia, Sheikh Ravil Gaynutdin bagi memperkukuh hubungan Islam antara Malaysia dan Rusia serta memperluas usaha dakwah dan pembangunan industri halal di negara itu.

Pertemuan yang berlangsung selepas sesi rasmi bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin, menjadi ruang untuk mempererat ukhuwah antara lebih 25 juta umat Islam di Rusia dengan Malaysia sebagai peneraju institusi Islam dan pensijilan halal dunia.

Dalam perbincangan bersama Sheikh Ravil, Anwar menekankan kepentingan memperkukuh institusi Islam, memperluas pertukaran kepakaran dan membangunkan industri halal yang semakin mendapat perhatian di Rusia.

“Kami bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh institusi Islam, memperluas pertukaran kepakaran serta memperkasa industri halal di Rusia dengan memanfaatkan kelebihan Malaysia sebagai peneraju pensijilan halal yang diiktiraf dunia,” kata Anwar dalam satu kenyataan.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas peranan aktif Mufti Besar Rusia dalam mempromosikan keharmonian antara agama di negara itu, menjadikannya contoh penting bagi membina masyarakat majmuk yang saling memahami dan menghormati.

Sebagai simbol persahabatan dan ikhtiar dakwah, Anwar menghadiahkan Sheikh Ravil senaskhah al-Quran dengan terjemahan bahasa Rusia, selari dengan aspirasi MADANI untuk mewakafkan sejuta al-Quran ke seluruh dunia bagi memperluas kefahaman terhadap Islam serta menangkis gelombang Islamofobia.

Sheikh Ravil membalas penghormatan itu dengan menghadiahkan Perdana Menteri senaskhah al-Quran mushaf Uthmani dari Uzbekistan yang memiliki nilai sejarah tinggi dan melambangkan kelangsungan warisan Islam merentasi benua dan zaman.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com