KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa menerusi peranan baharu sebagai negara rakan kepada kumpulan ekonomi BRICS.
Beliau berkata, penyertaan Malaysia sebagai rakan BRICS tahun ini sejajar dengan hala tuju transformasi ekonomi negara yang memberi tumpuan kepada digitalisasi dan kelestarian.
“BRICS mewakili kekuatan bersama negara membangun. Kita membuat keputusan secara kolektif, berunding secara seimbang tanpa mengenepikan mana-mana pihak,” katanya dalam wawancara bersama TV BRICS.
Anwar turut memaklumkan bahawa Malaysia kini memberi keutamaan kepada pembangunan pusat data, kecerdasan buatan (AI) dan peralihan tenaga sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi masa depan.
Malaysia, katanya, sudah menarik pelaburan berskala besar dalam sektor semikonduktor dan AI daripada syarikat antarabangsa seperti Google, Microsoft, NVIDIA serta Infineon dari Jerman.
“Kita tidak kekurangan pelaburan. Cabaran sekarang adalah membangunkan bakat tempatan dan meningkatkan daya saing,” ujarnya.
Menyentuh aspek kewangan serantau, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia menyokong usaha menghidupkan semula cadangan penubuhan Dana Monetari Asia.
Beliau menjadikan Inisiatif Chiang Mai sebagai contoh kerjasama kukuh bank pusat yang mampu memacu penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan serantau.
“Malaysia mensasarkan sekurang-kurangnya 20 peratus urus niaga perdagangan dengan China, Thailand dan Indonesia dilaksanakan menggunakan mata wang masing-masing,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata Malaysia terbuka menjalinkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan negara-negara BRICS dan rakan strategik lain.
Menurutnya, beberapa negara termasuk Kesatuan Eropah dan United Kingdom turut menunjukkan minat baharu terhadap kerjasama perdagangan dengan Malaysia.
“Kekuatan BRICS ialah fokusnya kepada keperluan sebenar negara membangun daripada bahan mentah kepada teknologi,” katanya.
Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia akan menganjurkan sidang kemuncak ekonomi bersama rakan seperti Majlis Kerjasama Teluk (GCC), China, Amerika Syarikat, Jepun dan India.
“Fokus kita adalah kepada kerjasama ekonomi dan pelbagai hala yang berpaksikan peraturan antarabangsa. Kita tidak tunduk kepada tindakan unilateral,” tegas beliau.
Anwar turut menggariskan komitmen Malaysia dan ASEAN terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), termasuk pembangunan grid kuasa serantau bagi tenaga bersih rentas sempadan.
“Lebih separuh tanah Malaysia masih dilitupi hutan dara. Kita bukan hanya bercakap, tetapi melaksanakan dasar hijau walaupun berdepan kos tinggi,” katanya sambil menyeru negara maju menunaikan janji bantuan iklim.
Dalam aspek sosial dan pembangunan insan, Perdana Menteri memuji usaha organisasi seperti Persatuan Wanita Antarabangsa Malaysia yang mempromosi program budaya dan pendidikan dengan penyertaan antarabangsa.
“Pembangunan tidak hanya berkisar kepada ekonomi. Peranan wanita dalam pendidikan, kesihatan dan alam sekitar mesti diiktiraf sepenuhnya,” tambah beliau.