Saturday, 5, July, 2025
Utama Nasional Malaysia utamakan alam sekitar, tolak keuntungan segera hasil pembalakan

Malaysia utamakan alam sekitar, tolak keuntungan segera hasil pembalakan

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Malaysia kekal konsisten mempertahankan prinsip kelestarian alam sekitar meskipun berdepan pilihan untuk meraih keuntungan segera melalui aktiviti pembalakan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak tergoda dengan hasil lumayan jangka pendek kerana keutamaan negara adalah untuk memastikan khazanah alam terus terpelihara demi generasi akan datang.

Dalam satu wawancara eksklusif bersama TV BRICS pada Jumaat, beliau menjelaskan bahawa lebih 52 peratus daripada tanah negara masih diliputi hutan dara, menjadikan Malaysia antara negara yang paling hijau di rantau ini.
“Kita boleh meraih banyak keuntungan sekarang hanya dengan menjual kayu balak, tetapi kita tidak melakukannya.

“Mengapa? Kerana kita mahu melindungi warisan kita dan alam sekitar. Dan itulah prinsip kita walaupun ia memerlukan pengorbanan,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai usaha ASEAN menangani perubahan iklim serta komitmen bersama dalam pelaksanaan pelan tindakan strategik serantau.

Anwar menegaskan bahawa negara maju tidak seharusnya terus memberi tekanan kepada negara membangun dalam isu alam sekitar.

“Kita tidak boleh terus-menerus mendengar desakan sesetengah negara perindustrian yang mengarahkan kita apa yang patut dilakukan, sedangkan mereka sendiri telah merosakkan alam sekitar dan tidak menunaikan janji-janji sokongan mereka.”

Tambah beliau, negara-negara ini juga tidak memenuhi komitmen menyediakan bantuan kewangan dan teknologi yang dijanjikan kepada negara membangun.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com