Saturday, 5, July, 2025
Utama Nasional PM gesa dunia Islam perkukuh kerjasama ekonomi, tumpu industri halal

PM gesa dunia Islam perkukuh kerjasama ekonomi, tumpu industri halal

oleh Ammar Haziq

KAZAN (Tatarstan): Dunia Islam perlu memperkukuh kerjasama bermula dengan asas ekonomi yang kukuh, khususnya menerusi penguasaan dalam industri halal yang dianggarkan bernilai AS$3 trilion (RM14 trilion), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, potensi besar yang dimiliki oleh negara-negara Islam termasuk di Teluk, Timur Tengah, Afrika dan Asia wajar dimanfaatkan dengan memperkukuh kesepakatan dan membina rangkaian ekonomi yang lebih tersusun.

“Dari negara-negara Teluk, Timur Tengah, ke Afrika, ke Asia, kita harus memformalkan dan mengukuhkan perpaduan ini. Kemudian barulah kewangan Islam – bukan hanya menerima pakai konsep bebas riba, tetapi meneroka inovasi baharu agar ia menjadi satu alternatif ekonomi yang berdaya maju.

“Ia bukan sahaja untuk dunia Islam, malah juga membuka ruang penyertaan masyarakat bukan Islam dalam sistem ekonomi dan kewangan yang inklusif,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada Sesi Pleno Forum Ekonomi Antarabangsa Ke-16 “Rusia-Dunia Islam: KazanForum 2025”, yang dihadiri lebih 2,500 peserta dari lebih 100 negara.

Anwar turut menggariskan keperluan mendesak untuk negara-negara Islam bergerak seiring dalam agenda peralihan tenaga dan transformasi digital supaya tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan global.

“Bagaimana kita menghormati dan mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW? Ia adalah melalui penghayatan nilai dan akhlak Baginda. Maka, nilai kekeluargaan dan etika kehidupan tetap perlu menjadi tunjang dalam kemajuan yang kita capai,” katanya.

Beliau turut menyuarakan keprihatinan terhadap pelbagai isu yang membelenggu golongan belia dan menekankan kepentingan suara anak muda didengari serta diberi perhatian serius dalam proses pembangunan negara.

“Kita perlu buat susulan terhadap perbincangan berkaitan belia. Saya telah mencadangkan dalam mesyuarat strategik pagi ini agar anak muda diberi ruang untuk memberikan cadangan mereka – sama ada menyokong atau membantah sesuatu pandangan – asalkan suara mereka benar-benar diambil kira.

“Kita tidak mahu belia hanya menjadi pemerhati. Suara mereka perlu menjadi sebahagian daripada keputusan dasar, terutama dalam program-program yang memberi kesan langsung kepada mereka,” katanya.

Anwar turut menggesa para ulama, cendekiawan serta pemimpin politik Islam agar berganding bahu untuk membimbing generasi muda dan memberi perhatian khusus terhadap cabaran sosial serta identiti yang sedang mereka hadapi hari ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com