LANGKAWI – Sebanyak 27 laporan polis diterima daripada penduduk sekitar Langkawi susulan kerosakan rumah yang didakwa berpunca daripada latihan simulasi letupan sempena acara perasmian Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, semua laporan tersebut telah disiasat dan hasil siasatan akan dirujuk kepada pihak berkaitan bagi tindakan lanjut.
Menurutnya, kejadian seumpama ini tidak pernah berlaku pada penganjuran LIMA sebelum ini.
“Kita telah menerima aduan daripada penduduk yang mendakwa rumah mereka mengalami kerosakan seperti cermin tingkap pecah dan siling retak dipercayai akibat gegaran kuat semasa latihan pesawat dan letupan dijalankan.
“Kesemua aduan sedang disiasat dan kita juga telah berbincang dengan pihak penganjur yang memberikan komitmen penuh untuk menyelesaikan isu ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Langkawi, pada Khamis.
Tambahnya, siasatan turut melibatkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang telah menjalankan pemeriksaan ke atas beberapa rumah yang terjejas.
Dalam masa sama, beliau turut memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak mengambil kesempatan dengan membuat laporan palsu semata-mata untuk menuntut pampasan.
“Setiap laporan mestilah berasaskan kejadian sebenar dan bukannya rekaan. Kita tidak mahu ada yang menyalahgunakan keadaan ini,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Fisol memaklumkan bahawa pihak penganjur telah mengambil keputusan untuk menghentikan persembahan gimik letupan di sekitar Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) sehingga tamat pameran pada Sabtu ini.
Terdahulu, tular beberapa video di media sosial memaparkan keadaan rumah penduduk kampung sekitar lokasi pertunjukan yang mengalami kerosakan, dipercayai akibat gegaran kuat semasa latihan pesawat berlangsung.
Rakaman turut menunjukkan kehadiran beberapa pegawai ke lokasi terjejas bagi meninjau keadaan sebenar dan memberikan saranan agar penduduk membuka tingkap rumah serta kenderaan ketika pertunjukan bagi mengurangkan risiko kerosakan berulang.
Pameran LIMA’25 yang berlangsung sehingga Sabtu ini dijangka menarik ribuan pengunjung tempatan dan antarabangsa.