Saturday, 24, May, 2025
Utama Ekonomi Cadangan naikkan umur persaraan wajar diteliti-PM

Cadangan naikkan umur persaraan wajar diteliti-PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Cadangan menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun perlu diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, sebarang kertas cadangan berkaitan perkara itu perlu diperhalusi terlebih dahulu oleh agensi dan kementerian berkaitan, sebelum dibawa ke peringkat Jemaah Menteri untuk perbincangan lanjut.

“Belum dibawa ke Kabinet, selalu kertas cadangan ini akan dibincang, kemudian akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri. Biar mereka kaji dulu, tengok implikasinya, kewangan, jumlah penduduk, peluang pekerjaan baharu, banyak implikasinya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Hadiah Bahasa 2025, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri menegaskan bahawa sebarang perubahan dasar berkaitan umur persaraan harus mengambil kira pelbagai faktor termasuk aspek tenaga kerja, kos dan kemampuan negara.

“Sebab itu cadangan ini wajar diberi perhatian dan pertimbangan. Biar agensi terlibat buat kajian dari segi peluang pekerjaan, kos dan sebagainya,” katanya .

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan supaya had umur persaraan dikaji semula dan dinaikkan ke usia 65 tahun, dengan mengambil kira bahawa ramai yang masih sihat dan mampu menyumbang kepada ekonomi negara walaupun sudah mencapai usia 60 tahun.

Ketika ini, had umur persaraan wajib bagi penjawat awam ialah 60 tahun, manakala sektor swasta turut tertakluk kepada Akta Umur Persaraan Minimum 2012 yang menetapkan usia minimum persaraan pada tahap sama.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com