Sunday, 25, May, 2025
Utama Tech Kejayaan MaiStorage buktikan keupayaan anak tempatan dalam AI

Kejayaan MaiStorage buktikan keupayaan anak tempatan dalam AI

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Kejayaan syarikat pemula tempatan, MaiStorage Technology Sdn Bhd menembusi pasaran global dalam bidang kecerdasan buatan (AI) membuktikan kemampuan anak Malaysia bersaing di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian MaiStorage yang menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) menunjukkan daya cipta tempatan semakin diiktiraf dunia.

“Mengapa saya pilih hadir dan memberikan sokongan, kerana ini meletakkan kita dalam satu usaha yang agak baru kita sebut dalam konteks Madani daya cipta dan dalam memastikan tahap kemajuan yang lebih besar.

“Ada beberapa bidang yang kita terokai yang agak sukar dan kita bernasib baik anak-anak kita tempatan yang sudah menjelajah seantero dunia dan meletakkan industri yang berjaya di dunia Phison dan bersetuju meletakkan asas di sini.

“Sebab itu saya hargai rakan-rakan, khususnya kementerian MITI, TalentCorp, Kerajaan Selangor yang berikan dokongan,” katanya semasa merasmikan Majlis Pelancaran MaiStorage Technology di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Anwar berkata, industri elektrik dan elektronik (E&E) di negara ini sudah bertapak sejak lebih tujuh dekad lalu, dan penglibatan syarikat pemula seperti MaiStorage memberi petunjuk jelas tentang kemajuan teknologi tempatan.

“Tetapi kita belum ke tahap ke depan atau ‘front-end’, walaupun sekarang sudah mula advance packaging, design, jadi ada satu tahap kemajuan,” katanya.

Beliau menyifatkan kemunculan MaiStorage sebagai antara peneraju baharu dalam sektor AI sebagai satu pencapaian penting yang mampu melonjakkan nama Malaysia dalam teknologi masa hadapan.

“Tetapi MaiStorage merupakan satu langkah yang kita terokai agak awal dan menjadikan kita satu lonjakan yang sangat istimewa dalam lapangan AI. Jadi ini kebanggaan kita, saya ucap sekali lagi penghargaan,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com