Monday, 26, May, 2025
Utama Nasional Anwar pertahan pelantikan semula Azam, puji keberanian geledah ‘tauke besar’

Anwar pertahan pelantikan semula Azam, puji keberanian geledah ‘tauke besar’

oleh Ammar Haziq

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan kerajaan menyambung kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dengan menyifatkannya sebagai tokoh yang berani memerangi rasuah tanpa gentar.

Menurut Anwar, biarpun langkah itu menerima kritikan pelbagai pihak termasuk pembangkang, beliau tetap yakin Azam telah membuktikan ketegasan dan keberanian luar biasa dalam membanteras rasuah secara menyeluruh.

“Saya percaya melihat kepada perkembangan SPRM puluhan tahun, inilah kali pertama SPRM berani menggeledah semua tauke besar. Ya, ini kenyataan.

“Saya boleh bincang dengan kawan-kawan dalam Kabinet untuk ganti esok, tapi saya tidak yakin yang baharu itu akan cukup berani menyinggung tauke besar yang punyai kekayaan berbillion ringgit,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sempena Kongres Nasional parti itu di Persada Johor, malam tadi.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, SPRM kini tidak gentar mengambil tindakan terhadap individu berprofil tinggi termasuk mereka yang bergelar Datuk Seri, Tan Sri dan Tun, sesuatu yang jarang berlaku sebelum ini.

Justeru itu, beliau menggesa semua pihak agar memberi ruang dan sokongan terhadap usaha SPRM supaya tindakan tegas dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan atau tafsiran politik sempit.

“Bagi ruang kepada Azam. Sementara itu kita cari ganti yang kita yakin berani dan peralihan akan berlaku dalam kepimpinan SPRM,” katanya lagi.

Pada masa sama, Anwar turut menyatakan rasa kecewa kerana tindakan SPRM kerap disalah tafsir kononnya bermotifkan dendam atau siasatan terpilih.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan pelantikan semula Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk tempoh setahun bermula 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com