JOHOR BAHRU: Malaysia akan terus memperjuangkan keadilan dan kebebasan untuk rakyat Palestin serta menentang keras penjajahan Israel, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, meskipun Malaysia hanya sebuah negara kecil, ia tetap komited memainkan peranan lantang di pentas antarabangsa bagi menyuarakan nasib penduduk Gaza yang terus dizalimi.
“Memang di banyak negara orang mengharapkan kita berusaha lebih lantang lagi. Saya fikir ini menyedihkan kerana ia menunjukkan kemunafikan dalam sistem politik dunia yang sungguh-sungguh mengaibkan.
“Paling akhir, ada usaha-usaha negara Eropah untuk menyekat penjualan senjata yang baharu ke Gaza. Agak terlambat kerana 50,000 wanita dan kanak-kanak yang hari-hari semasa lulus bantuan kemanusiaan, hari itu juga dibom, dunia kelu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sebelum menangguhkan Kongres Nasional PKR 2024/2025 di sini, semalam.
Anwar yang juga Presiden PKR menegaskan, parti itu akan kekal konsisten memperjuangkan prinsip keadilan sejagat dan menolak sebarang bentuk penjajahan, termasuk terhadap bumi Palestin.
“Jadi, kita akan terus perjuangkan keadilan dan hak menentang penjajahan, penjajahan mana-manapun kita tentang termasuk penjajahan Israel ke atas bumi Gaza,” katanya.
Beliau turut menghargai kenyataan yang dikeluarkan oleh tokoh antarabangsa termasuk Paus Leo XIV, yang secara terbuka menggesa gencatan senjata dilaksanakan segera di Semenanjung Gaza.
“Kenyataan pertama itu kadang-kadang suaranya itu lebih hebat daripada pemimpin Islam yang lain,” katanya.
Menurut laporan agensi berita Anadolu pada 13 Mei lalu, lebih 52,000 rakyat Palestin dilaporkan terkorban dalam serangan berterusan oleh rejim Israel sejak Oktober 2023.
Pada November tahun lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Israel juga kini sedang berdepan kes genosid yang difailkan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) susulan tindakan kekerasan melampau ke atas penduduk Gaza.