JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa harga petrol RON95 tidak akan dinaikkan buat masa ini, meskipun wujud gesaan dalam Kabinet agar harga bahan api bersubsidi itu dinaikkan.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, sebarang pelarasan subsidi akan dilakukan secara berperingkat dan berhati-hati mengikut keadaan ekonomi serta harga pasaran, demi mengelakkan beban kepada rakyat.
“Saya sedang fikirkan isu subsidi petrol RON95. Ada yang minta harganya dinaikkan untuk rakyat. Namun saya tidak setuju. Kalau mahu dilakukan, pelarasan harga RON95 perlu diturunkan sedikit demi sedikit mengikut masa dan harga pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Kongres Nasional PKR 2025 di sini, semalam.
Anwar menegaskan, penstrukturan semula subsidi bahan api perlu lebih bersasar agar manfaat hanya dinikmati oleh rakyat tempatan yang memerlukan, bukan warga asing atau golongan berpendapatan tinggi.
“Orang asing nikmati RM3 hingga RM4 bilion subsidi. Mungkin selepas ini, nak beli petrol RON95 kena tunjuk kad pengenalan,” katanya.
Beliau turut menyatakan keperluan menaikkan harga petrol bagi kira-kira empat juta warga asing yang berada di negara ini, selaras dengan pelaksanaan penyasaran subsidi secara berfasa.
Sebelum ini, ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Oktober lalu, Anwar mengumumkan penyasaran subsidi RON95 akan dimulakan pertengahan tahun ini, dengan potensi penjimatan sehingga RM8 bilion. Penjimatan itu akan disalurkan semula untuk meningkatkan kemudahan pendidikan, kesihatan dan pengangkutan awam.
“Mana ada negara yang beri subsidi petrol kepada golongan maha kaya, termasuk pemilik kereta mewah seperti Rolls-Royce. Tapi di negara ini, golongan lima peratus ini pula minta subsidi dikekalkan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata kerajaan turut meneliti semula pelaksanaan subsidi gas dan gas asli cecair (LNG) bagi memastikan ia tidak membebankan syarikat kecil dan perusahaan mikro.
Beliau juga menyentuh pelaksanaan e-Invois yang disifatkan penting dalam mengurangkan ketirisan hasil negara, namun tidak menolak kemungkinan melakukan penambahbaikan jika terdapat kelemahan dalam pelaksanaannya.
Pada masa sama, Anwar menegur kelemahan penyampaian maklumat oleh parti dan agensi kerajaan berhubung langkah rasionalisasi subsidi, khususnya subsidi elektrik, sedangkan hakikatnya majoriti rakyat tidak terjejas.
“Malaysia adalah antara negara paling tinggi memberikan subsidi. Subsidi elektrik sebanyak 85 peratus tidak jejaskan rakyat, namun cara kita sampaikan maklumat amat lemah,” katanya.