PUTRAJAYA: Malaysia mengiktiraf peranan penting Vietnam sebagai rakan strategik serantau apabila kedua-dua negara berjaya mencapai kesepakatan dalam melaksanakan projek Grid Kuasa ASEAN (APG), yang disifatkan sebagai pencapaian utama Sidang Kemuncak ASEAN 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan tersebut menjadi bukti bahawa hubungan dua hala antara Malaysia dan Vietnam mampu menghasilkan kerjasama konkrit yang memberi manfaat kepada seluruh rantau.
“Hari ini, kita telah menyaksikan beberapa keputusan penting oleh kerajaan dan institusi, khususnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan lembaga tenaga, syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan Petronas dengan PetroVietnam.
“Grid Kuasa ASEAN yang hebat ini, dari Vietnam melalui kabel dasar laut ke Grid Nasional di Semenanjung dan seterusnya ke Singapura, pada hemat saya adalah antara kejayaan utama Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh, di Kompleks Perdana Putra, hari ini.
Menurut Anwar, projek tersebut bukan sekadar simbol kerjasama serantau semata-mata, sebaliknya membuktikan kemampuan ASEAN menterjemahkan rancangan kepada tindakan nyata.
“Kita bukan sahaja membuat kenyataan yang mengagumkan mengenai projek-projek besar, kerjasama atau usaha diplomatik.
“Kali ini kita telah berjaya merealisasikannya melalui program dan projek yang berkesan, yang selaras dengan dasar peralihan tenaga bagi tenaga alternatif untuk rantau ini,” katanya.
Lawatan Chinh ke Malaysia merupakan kunjungan rasmi pertama beliau sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Vietnam pada April 2021, dan diadakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, memaklumkan rundingan Memorandum Perjanjian Dipertingkatkan berkaitan projek berkenaan dijangka dimuktamadkan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 pada Oktober ini.