KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan harapan agar ASEAN bersama rakan-rakan serantaunya terus teguh mempertahankan semangat perpaduan dan saling menghormati demi membina masa depan yang inklusif, mampan dan berpandangan jauh.
Baginda bertitah, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang berlangsung ketika ini hadir dalam suasana mencabar dengan pelbagai kompleksiti global yang menuntut kerjasama erat semua pihak.
“Malaysia amat berbesar hati menjadi tuan rumah kepada sidang-sidang kemuncak yang penting ini, mencerminkan komitmen bersama untuk memajukan keamanan, kemakmuran dan perkongsian di rantau ini dan seterusnya.
“Semoga masa anda di sini dapat memperkukuh lagi ikatan persahabatan dan kerjasama yang menyatukan kita semua,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Instagram rasmi, pada Selasa.
Sultan Ibrahim bertitah demikian sempena Majlis Santapan Diraja yang dihoskan oleh baginda di Istana Negara sempena Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China.
Majlis berkenaan berlangsung di Dewan Seri Maharaja, Istana Negara dan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; pemimpin-pemimpin tertinggi ASEAN; negara-negara GCC; China serta Timor-Leste.
Pada majlis yang julung kali diadakan itu, Sultan Ibrahim turut berkenan menyambut ketibaan setiap pemimpin negara yang hadir, sebelum menyampaikan Titah Diraja serta beramah mesra dan bergambar kenangan bersama mereka.