PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa juruaudit, akauntan dan pengawal selia di seluruh ASEAN supaya memperkukuh komitmen terhadap tadbir urus yang baik, berteraskan nilai murni serta maruah dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa kecemerlangan teknikal semata-mata tidak mencukupi tanpa disertai kejelasan moral dan pengawasan bebas, bagi membina institusi dan masyarakat yang bertanggungjawab.
“Kita sering memperkatakan mengenai keterangkuman, kemampanan. Namun, jika diteliti Visi Komuniti ASEAN 2045, asas utamanya adalah tanggungjawab dan tadbir urus yang baik. Ia mencerminkan suara majoriti rakyat kita.
“Siapa mahu tinggal di sebuah negara yang dipenuhi dengan ketirisan, rasuah dan pembaziran. Justeru, saya amat menyokong Institusi Audit ASEAN untuk melaksanakan visi ini,” katanya.
Beliau berucap pada majlis penutup Persidangan Juruaudit ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Anwar menekankan, adalah penting agar institusi audit diberikan kuasa beroperasi secara bebas dan penuh tanggungjawab supaya mampu menghadapi pelbagai cabaran domestik dan serantau.
“Kini kita melangkah lebih jauh dengan memperkuat piawaian tertinggi dalam ketelusan dan kebertanggungjawaban, di samping mengukuhkan rangka kerja antirasuah melalui kebebasan juruaudit dan pengawal selia,” katanya.
Beliau turut menegaskan pendiriannya untuk tidak mencampuri sebarang urusan audit mahupun hasil Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) sebelum ia dibawa ke Kabinet atau dibentangkan di Parlimen.
“Sudah tentu, mereka memberikan taklimat kepada saya… dalam dua minggu lepas tetapi itu hanya taklimat, bukan untuk saya campur tangan atau ubah dasar.
“Itulah yang kita maksudkan dengan tadbir urus yang baik dan ketelusan, sekali gus akan mengukuhkan kerajaan dan integriti serta memperlihatkan peningkatan berterusan dalam Indeks Persepsi Rasuah,” ujar beliau.
Persidangan Juruaudit ASEAN yang dianjurkan buat julung kali oleh Jabatan Audit Negara bersempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan pelantikan Ketua Audit Negara sebagai Pengerusi Jawatankuasa Audit ASEAN, berlangsung selama dua hari bermula semalam.
Bertemakan Inclusive and Sustainable Auditing for a Progressive ASEAN, persidangan ini menghimpunkan lebih 2,000 peserta daripada sektor awam dan swasta, termasuk delegasi serantau dan antarabangsa serta Ketua Institusi Audit Tertinggi dari negara ASEAN seperti Brunei, Filipina, Kemboja dan Laos, selain Maldives dan Yaman.