KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menukar peguam yang mewakilinya dalam kes saman sivil difailkan oleh Muhammed Yusoff Rawther terhadap beliau di Mahkamah Tinggi di sini, minggu lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam plaintif, Rafique Rashid Ali, yang menyatakan bahawa notis pertukaran peguamcara Anwar telah dikemukakan pada 23 Mei lalu.
Peguam baharu yang mewakili Perdana Menteri kemudiannya memfailkan permohonan untuk merujuk satu persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, bersama afidavit sokongan.
Menurut Rafique, pihak defendan turut memohon agar perbicaraan yang dijadualkan pada 16 hingga 19 Jun dan 23 hingga 25 Jun depan ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan itu.
“Memandangkan isu yang dibangkitkan melibatkan persoalan undang-undang, mahkamah telah mengarahkan semua pihak memfailkan hujahan dengan segera. Permohonan akan didengar pada 3 Jun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahkamah turut mengarahkan semua pihak berhujah berhubung peruntukan undang-undang berkaitan kekebalan atau imuniti yang dimiliki oleh seorang Perdana Menteri.
Rafique menegaskan bahawa pihaknya kekal komited untuk mempertahankan hak anak guamnya secara terbuka.
“Akses kepada keadilan adalah hak asasi manusia yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Sebelum ini, Anwar memfailkan permohonan agar Mahkamah Tinggi merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan. Antara lain, ia melibatkan isu imuniti beliau sebagai Perdana Menteri dalam kes saman berkenaan.
Turut dibangkitkan adalah sama ada tindakan saman itu mengganggu pelaksanaan fungsi eksekutif beliau serta menjejaskan prinsip pengasingan kuasa, selain mempertimbangkan hak beliau untuk dilayan secara saksama di sisi undang-undang mengikut Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pernyataan tuntutan, Muhammed Yusoff mendakwa beliau menjadi mangsa serangan seksual oleh Anwar di kediaman pemimpin itu di Segambut pada 2 Oktober 2018, selepas diminta hadir oleh Setiausaha Sulit Anwar untuk menyerahkan teks ucapan.
Beliau mendakwa membuat laporan polis berhubung insiden itu pada 7 Disember 2019 dan kesihatannya terjejas akibat kritikan daripada penyokong Anwar serta masyarakat.
Berikutan itu, plaintif menuntut ganti rugi khas, am, teruk dan teladan serta kos dan sebarang relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Anwar menafikan dakwaan berkenaan dan memfailkan tuntutan balas pada September 2021, dengan menyatakan bahawa tuduhan tersebut adalah palsu dan tidak berasas.
Menurut Anwar, pada tarikh kejadian yang didakwa berlaku, beliau berada bersama ahli keluarga dan rakan-rakan di kediamannya di Bukit Segambut.