PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menziarahi Sultan Hassanal Bolkiah yang kini sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) akibat keletihan.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, keadaan Sultan Brunei itu dilaporkan stabil dan berada dalam keadaan baik.
“Sihat saya akan keluarkan kenyataan. Biar beliau (Sultan Brunei) rehat dahulu. Baginda kini dalam keadaan baik. Alhamdulillah cuma dia perlukan rehat,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutup Persidangan Juruaudit ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Rabu.
Perdana Menteri menambah, Baginda masih memerlukan pemantauan oleh pasukan perubatan.
“Namun begitu, baginda masih memerlukan pemantauan oleh pasukan perubatan,” ujarnya.
Difahamkan, ketika ini Sultan Hassanal Bolkiah ditemani Raja Isteri Pengiran Anak Saleha sepanjang rawatan.
Pihak perubatan turut menasihatkan agar baginda tidak menerima sebarang pelawat buat masa ini, kecuali daripada ahli keluarga Diraja Brunei, bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar.
Dalam perkembangan sama, Anwar menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mendoakan kesembuhan segera buat Sultan Brunei.
Sultan Hassanal Bolkiah merupakan antara 10 pemimpin ASEAN yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Isnin dan Selasa lalu.
Baginda tiba di negara ini melalui Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, pada Ahad kira-kira jam 4.30 petang.