SINGAPURA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan ucapan khas pada Dialog Shangri-La ke-22 (SLD) yang berlangsung di republik ini, Sabtu ini (31 Mei), menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (MINDEF) Singapura.
SLD yang dianggap sebagai persidangan utama mengenai pertahanan dan keselamatan di rantau Asia-Pasifik, akan berlangsung selama tiga hari bermula Khamis ini hingga Ahad, bertempat di Hotel St. Regis di sini. Persidangan itu dianjurkan oleh Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS).
“Edisi tahun ini akan disertai 47 negara, termasuk 40 perwakilan peringkat menteri, 20 ketua angkatan tentera, lebih 20 pegawai kanan pertahanan serta tokoh akademik terkemuka,” menurut kenyataan MINDEF.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron dijadual menyampaikan Ucaptama Dialog tahun ini pada Jumaat (30 Mei), manakala Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam akan menjadi hos majlis makan malam rasmi buat para delegasi pada 31 Mei.
Menteri Pertahanan Singapura, Chan Chun Sing pula akan menyampaikan ucapan pada sidang pleno ketujuh, Ahad ini, yang bertemakan “Meningkatkan Kerjasama Keselamatan demi Asia-Pasifik yang Stabil”.
Chan turut dijadual mengetuai beberapa sesi penting sepanjang persidangan termasuk menjadi tuan rumah kepada sesi meja bulat bersama para menteri pertahanan yang hadir pada 31 Mei dan 1 Jun, selain mengetuai mesyuarat sarapan pagi bersama menteri-menteri pertahanan Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).
Beliau juga dijadual mengadakan beberapa mesyuarat dua hala dengan menteri-menteri dan pegawai kanan pertahanan dari pelbagai negara di luar sidang rasmi.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2002, Dialog Shangri-La berfungsi sebagai satu platform terbuka dan neutral untuk pertukaran pandangan mengenai pelbagai isu berkaitan pertahanan dan keselamatan serantau.