KOTA KINABALU: Hubungan antara kerajaan Persekutuan dan Sabah perlu dibina atas asas keintiman dan kepercayaan bersama dalam usaha membela nasib negeri itu serta rakyatnya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerjasama kukuh antara dua pihak itu sudah terbukti memberi manfaat kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat, sebagaimana yang dapat dilihat melalui peningkatan hubungan Persekutuan dengan Sarawak.
“Kerajaan Persekutuan komited untuk terus bekerjasama dengan kepimpinan Sabah dalam pelbagai aspek, terutama pembangunan dan pentadbiran, bagi memastikan kepentingan serta kebajikan rakyat di Negeri di Bawah Bayu itu sentiasa terpelihara,” katanya.
Anwar berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri pertemuan bersama pimpinan Pakatan Harapan (PH) Sabah di sebuah resort di sini, malam tadi. Turut hadir, Pengerusi PH Sabah, Datuk Ewon Benedick yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmu serta Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menyeru rakyat Sabah supaya memahami keperluan mewujudkan rangkaian yang kukuh antara negeri dan Persekutuan demi pembangunan bersama.
“Disebabkan itu, saya mengusulkan supaya rakyat Sabah mengambil kira-kira ini, mesti ada jaringan yang kuat dengan Sabah, antara kerajaan.
“Kita juga tahu bahawa selama ini kita ambil berat tentang Sabah. Ini bukan soal kerana ada Pilihan Raya Negeri,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa di bawah pentadbirannya, kerajaan Persekutuan telah menunjukkan komitmen teguh dalam melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menerusi jawatankuasa khas dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama menteri-menteri dari Sabah dan Sarawak.
Katanya, hasil usaha bersungguh-sungguh itu, sembilan perkara utama yang tertangguh sejak berdekad lalu berjaya diselesaikan, termasuk isu lebih rumit seperti hal ehwal minyak.
“Jadi kita usulkan prinsip yang sama supaya hasil yang lebih, yang terjamin untuk Sabah… bukan disalahgunakan… bagi saya, soal ketelusan soal tatakelola, itu keutamaan.
“… bukan cari pemimpin-pemimpin hendak rebut kekayaan untuk mereka sendiri … tetapi untuk menggunakan kesempatan membela nasib rakyat. Kerajaan inilah yang dipertahankan dan didukung untuk rakyat kita,” ujarnya.
Anwar turut menyentuh kejayaan kerajaan dalam mempertahankan hak Sabah dalam isu tuntutan Kumpulan Sulu yang berjaya ditepis serta diselesaikan, sekali gus menjaga maruah negeri itu sebagai sebahagian daripada Malaysia.
“Kita beri komitmen yang penuh dalam mesyuarat Jemaah Menteri malah dalam sidang ASEAN baru-baru ini, kita dapat pertahankan supaya isu Sabah sentiasa diutamakan,” katanya.
Mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah, beliau berkata PH Sabah kini sedang mengadakan rundingan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) Sabah.
“Biar PH Sabah memutuskan, mereka berunding dengan GRS, berunding dengan BN Sabah. Ketua-Ketua PH Sabah ini mereka akan ke depan dan selaraskan. Sekarang ini nampak mesyuarat semua berjalan dan kita tidak rasa ada masalah,” katanya.