Saturday, 31, May, 2025
Utama Sukan Man United tumpas, PM ucap tahniah kepada ASEAN All-Stars

Man United tumpas, PM ucap tahniah kepada ASEAN All-Stars

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada pasukan ASEAN All-Stars yang mencipta kejutan apabila menewaskan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United dalam aksi persahabatan, malam tadi.

Beliau yang turut hadir menyaksikan perlawanan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, menyampaikan ucapan tahniah dengan nada berseloroh menerusi satu hantaran di Facebook.

“Aduh! Gagal lagi Man United menang piala. Pening kepala juga hangpa (kamu semua) musim depan. Harap tak turun Championship. Tahniah ASEAN All-Stars, hangpa memang padu!!” katanya.

Dalam aksi pascamusim yang dikenali sebagai Piala Cabaran Maybank itu, ASEAN All-Stars mencatat kemenangan 1-0 hasil jaringan Maung Maung Lwin dari Myanmar pada minit ke-72.

Pasukan pilihan Asia Tenggara itu dibarisi pemain dari negara anggota Konfederasi Bola Sepak ASEAN (AFF), termasuk Australia, dan dikendalikan jurulatih dari Korea Selatan, Kim Sang-sik. Penyerang naturalisasi Harimau Malaya pula diberi tanggungjawab sebagai ketua pasukan.

Perlawanan itu berjaya menarik lebih 72,500 penyokong dari dalam dan luar negara, sekali gus membuktikan daya tarikan tinggi perlawanan bertaraf antarabangsa yang dianjurkan di Malaysia.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com