Saturday, 31, May, 2025
Utama Nasional Rombakan Kabinet: Masih bercuti, belum boleh ganti

Rombakan Kabinet: Masih bercuti, belum boleh ganti

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa tiada pengganti akan dilantik buat masa ini bagi dua jawatan menteri yang dikosongkan, kerana kedua-dua penyandangnya masih dalam tempoh cuti.

“Tidak ada, mereka masih bercuti, tidak boleh ganti (jawatan) masa orang bercuti,” katanya secara ringkas ketika ditanya pemberita mengenai rombakan kabinet selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini.

Terdahulu, pada Rabu, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad, masing-masing telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri.

Rafizi memaklumkan peletakan jawatannya akan berkuat kuasa 17 Jun 2025, manakala Nik Nazmi pula pada 4 Julai 2025.

Bagaimanapun, kedua-duanya mula menghabiskan baki cuti tahunan masing-masing bermula 28 Mei, yang menjangkaui tarikh kuat kuasa peletakan jawatan mereka.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan turut memaklumkan bahawa permohonan cuti serta pengunduran kedua-dua menteri telah diterima dan diluluskan selepas diteliti.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com