TOKYO: Malaysia terus memperkukuh peranannya dalam membina ekosistem digital yang selamat dan dipercayai di peringkat serantau menerusi pelbagai inisiatif dasar dan kerjasama strategik.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata demikian ketika berucap pada Sesi Keempat Mesyuarat Menteri-Menteri Teleperhubungan Asia-Pasifik (APT) yang berlangsung di Tokyo, Jepun, semalam.
Beliau menegaskan bahawa cabaran keselamatan siber semakin kompleks sejajar dengan peningkatan kebergantungan masyarakat kepada teknologi digital dalam kehidupan seharian.
“Keselamatan digital adalah penting untuk melindungi kepentingan negara, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Kita tidak lagi boleh melihatnya sebagai satu pilihan, tetapi sebagai satu keperluan yang mendesak dalam landskap digital masa kini,” katanya.
Menurut beliau, antara langkah utama yang diambil Malaysia ialah pelaksanaan Kempen Keselamatan Internet, yang bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai isu-isu kritikal seperti penipuan dalam talian, perjudian siber, buli siber, bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM), serta penyalahgunaan media sosial oleh kanak-kanak bawah umur.
Katanya, kempen ini turut diperluas melalui Jelajah Keselamatan Internet yang bermula pada Januari lalu, melibatkan pelajar dan masyarakat umum menerusi forum interaktif serta sesi pendidikan awam mengenai keselamatan dan etika digital.
Malaysia juga telah memperkenalkan kerangka peraturan baharu bagi memastikan penyedia perkhidmatan digital mematuhi undang-undang tempatan.
Mulai Januari 2025, semua penyedia pemesejan dan media sosial dengan lebih lapan juta pengguna di Malaysia diwajibkan memohon Lesen Kelas ASP(C) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Langkah ini bertujuan memastikan platform besar seperti WhatsApp, Facebook, Instagram, X dan TikTok mengambil tanggungjawab yang lebih besar dalam menangani kandungan berbahaya.
“Selain itu, ia juga memberi kuasa undang-undang kepada Malaysia untuk memastikan platform-platform ini mematuhi peraturan tempatan dalam melindungi rakyat kita,” jelas beliau.
Sebagai pelengkap kepada dasar itu, Malaysia turut melancarkan Kod Tatakelakuan (Amalan Terbaik) pada Disember 2024, yang menyediakan garis panduan etika dan tanggungjawab kepada penyedia platform digital dalam melaksanakan moderasi kandungan secara berkesan.
Mengulas inisiatif serantau, Fahmi memaklumkan bahawa Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 telah mempelopori penyediaan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Platform Media Sosial Secara Selamat dan Bertanggungjawab, yang disahkan dalam Mesyuarat AMRI ke-17 pada awal bulan ini.
“Deklarasi ini akan dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 Oktober nanti dan mencerminkan komitmen ASEAN untuk membentuk komuniti digital yang bertanggungjawab dan berdaya tahan.
“Ia juga menekankan pentingnya pendekatan bersama dalam menangani cabaran keselamatan dalam talian yang bersifat rentas sempadan,” katanya.
Malaysia juga bercadang menubuhkan Kotak Alat ASEAN untuk Keselamatan Dalam Talian, yang bakal menghimpunkan amalan terbaik serta sumber praktikal dari negara anggota bagi menangani cabaran keselamatan digital mengikut konteks dan keperluan setiap negara.
Dalam usaha membanteras maklumat palsu dan disinformasi, Fahmi turut berkongsi kejayaan platform semakan fakta Sebenarnya.my, yang mencatat purata 2.2 juta capaian bulanan. Inovasi terbaharunya, chatbot AIFA, kini membolehkan pengguna menyemak fakta melalui WhatsApp dan laman web secara masa nyata.
“Sehingga 31 Mac 2025, chatbot AIFA telah memproses lebih 84,000 mesej dengan purata 1,338 mesej setiap hari.
“Ini membuktikan bahawa masyarakat kita semakin proaktif untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan bertanggungjawab dalam menyemak kesahihan berita,” tambah Fahmi.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia kekal komited untuk terus bekerjasama dengan negara serantau dalam membina ruang digital yang selamat, inklusif dan dapat dipercayai semua lapisan masyarakat.
“Melalui kerjasama, kepercayaan bersama dan usaha pembangunan kapasiti yang berterusan, kita boleh memastikan tiada sesiapa pun yang ketinggalan dalam arus kemajuan digital,” katanya.
Mesyuarat APT kali ini menghimpunkan menteri-menteri telekomunikasi dan pemimpin industri dari seluruh Asia-Pasifik bagi membincangkan strategi serantau dalam menangani ancaman siber dan memperkukuh persekitaran digital yang berdaya tahan.