PENAMPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa usaha membanteras rasuah di Malaysia mesti dilaksanakan secara tegas dan berprinsip, berlandaskan undang-undang, bukannya didorong oleh persepsi, tohmahan atau cacian.
Menurut beliau, Kerajaan Perpaduan MADANI tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pemimpin yang menyalahgunakan kekayaan negeri dan negara demi kepentingan peribadi, sedangkan rakyat terus dihimpit kesusahan.
Malaysia, katanya, adalah negara yang mengamalkan kedaulatan undang-undang yang memberi keadilan kepada semua.
Berucap ketika merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Anwar turut mengulas isu tular melibatkan dakwaan rasuah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah baru-baru ini.
“Tuduhan bahawa kita menutup (kes rasuah) itu persepsi. Dibangkitkan persepsi, terutama di bandar seolah-olah ada usaha untuk menutup rasuah dan kesalahan, mereka mahu saudara saudari yakin negara ini tidak selamat.
“Negara ini negara hukum, bukan negara persepsi, bukan negara tuduhan dan fitnah,” kata beliau.
Perdana Menteri menjelaskan bahawa siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes berkenaan masih berjalan dan video-video berkaitan sedang diteliti. Justeru, beliau meminta agar semua pihak memberikan ruang kepada SPRM untuk menyempurnakan siasatan tanpa sebarang tekanan atau gangguan.
Beliau turut menyatakan kekesalannya terhadap pihak tertentu yang cuba mencetuskan keraguan dalam kalangan rakyat kononnya kerajaan cuba melindungi pihak yang terlibat, sedangkan proses siasatan sedang dijalankan secara profesional dan mengikut prosedur sedia ada.
Anwar menegaskan bahawa sebagai Perdana Menteri, beliau tidak campur tangan dalam urusan siasatan, pendakwaan mahupun keputusan kehakiman.
“Saya bukan diktator, saya ikut hukum, perlu melalui proses (perundangan). Siasat itu kerja SPRM atau polis, dakwa itu kerja peguam negara, hukum itu kerja hakim dan saya sebagai Perdana Menteri harus jaga supaya sistem itu berjalan dengan lancar dan berkesan.
“Bukan Perdana Menteri siasat, dakwa, hukum, hal itu diktator namanya … kita pernah lalui (situasi itu) suatu ketika dahulu, saya tahu, jadi jangan minta saya ulangi sistem seperti dahulu,” kata beliau.
Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Presiden KDCA Tan Sri Joseph Pairin Kitingan