KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada bekas pengawal peribadinya yang dikenali sebagai Shafie, yang kini berdepan masalah kesihatan akibat penyakit diabetes serta kecederaan pada bahagian siku kiri (dislocated elbow) sehingga menjejaskan keupayaan tangannya.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi semasa menziarahi Shafie di kediamannya.
“Dalam perjalanan kehidupan, ada insan-insan yang pernah berdiri teguh di sisi pemimpin, tidak kira masa susah atau senang.
“Encik Shafie, seorang bekas pengawal peribadi yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan Perdana Menteri ketika melalui detik-detik sukar dalam politik tanah air.
“Sesungguhnya, pengorbanan mereka yang setia ketika waktu sukar tidak akan dilupakan. Justeru itu, saya menziarahi beliau bagi menyampaikan salam kasih dan ingatan Perdana Menteri sebagai tanda penghargaan,” katanya.
Beliau berkongsi perkara itu dalam satu hantaran di Facebook hari ini, yang turut dikongsi semula oleh Anwar.
Ahmad Farhan dalam hantaran sama turut mendoakan agar Shafie diberikan kekuatan dan segera sembuh daripada penyakit yang dihidapinya.