SINGAPURA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia amat prihatin terhadap potensi peningkatan ketegangan antara pihak-pihak berkepentingan di Laut China Selatan dan tidak mahu melihat ketegangan tersebut berubah menjadi konfrontasi terbuka.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, katanya, Malaysia akan terus mengambil pendekatan berhati-hati dan konsisten dalam berinteraksi dengan semua pihak, demi memastikan perairan strategik itu kekal aman dan stabil.
“Paling utama, kami tetap teguh dengan pendirian berprinsip bahawa semua pihak mesti mematuhi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS),” katanya.
Anwar menyampaikan ucaptama bertajuk “Holding Our Ground: Southeast Asia in a Fractured World” sempena Dialog Shangri-La ke-22 yang berlangsung di Singapura pada Sabtu.
Dalam ucapannya, beliau menyeru agar semua pihak bersikap berhemah, menggalakkan dialog terbuka dan mengelak tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan, demi mengekalkan kestabilan yang menjadi asas kepada kesejahteraan rantau Asia Tenggara.
Perdana Menteri turut menolak konsep ‘spheres of influence’ atau lingkungan pengaruh kuasa besar, sambil menegaskan bahawa ia sering membawa kepada penyisihan negara-negara kecil.
“Sejarah telah membuktikan bahawa apabila kuasa besar cuba membahagikan dunia kepada zon kawalan eksklusif, negara-negara kecil sering kali terpinggir dan kehilangan suara.
“Kestabilan tidak datang daripada membahagi-bahagikan peta, tetapi daripada mewujudkan ruang untuk semua pihak menyumbang secara bermakna dalam membentuk aturan dunia yang kita diami,” katanya lagi.
Malaysia, jelas beliau, berpegang kepada prinsip tidak berpihak secara aktif, dengan terus berinteraksi bersama semua pihak – kuasa besar mahupun pertengahan – demi memperluas ruang strategiknya tanpa terikat kepada mana-mana blok kuasa.
Anwar turut menekankan bahawa Malaysia mengalu-alukan kehadiran berterusan Amerika Syarikat di rantau ini, namun pada masa sama mengekalkan hubungan erat dengan China serta memperkukuh kerjasama dengan negara Asia lain, Eropah dan Selatan Global.
“Apa yang Asia Tenggara perlukan ialah keseimbangan dinamik yang membolehkan kerjasama tanpa paksaan, dan keseimbangan tanpa politik blok.
“Bagi Malaysia, ini adalah pendirian yang disengajakan dan strategik: untuk membantu mengekalkan rantau yang terbuka, menegaskan kedaulatan kami, dan membuat keputusan sendiri – mengikut acuan kami sendiri,” tegas beliau.