KUALA LUMPUR: Penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) wajar diteruskan sebagai usaha menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat, sekali gus memperkukuh jati diri dan tahap intelektual masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, membaca adalah jambatan ilmu dan asas penting dalam membina tamadun negara yang berwibawa. Tegasnya, jika rakyat cetek ilmu, negara akan terperangkap dalam pemikiran sempit dan perbahasan yang tidak membina.
“Kita mahu angkat Malaysia sebagai negara hebat di rantau ini dalam beberapa tahun mendatang, ini sebab amalan membaca itu perlu.
“Lihat sahaja polemik politik dan ekonomi negara kita, tiada asas ilmu, hanya sentimen kemarahan dan kebencian, lantas cepat menghukum.
“Sampai agama turut digunakan, tak setuju terus dicop kafir dan munafik. Nampak betapa dangkalnya ilmu, ini bukan gambaran negara maju,” ujar beliau.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup PBAKL 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Ahad.
Tambah beliau, ukuran kebijaksanaan seseorang bukan terletak pada pengaruh atau kelantangan suara, sebaliknya berasaskan ilmu yang mantap.
“Setiap orang perlu dipertanggungjawabkan, apa yang kita tutur dan tulis itu jangan omong kosong, perlu disulami ilmu.
“Tahan diri daripada buat keputusan melulu, jangan terus tukar pendirian selepas baca dua baris ayat atau tengok video pendek di media sosial.
“Lakukan pembaharuan, medan bertukar pendapat itu boleh, tetapi harus ikut garis etika agar tidak melampau,” tegas Anwar.
Beliau turut memuji sambutan luar biasa terhadap penganjuran PBAKL kali ini yang berjaya mencatat hampir dua juta pengunjung sepanjang 10 hari berlangsung, dari 23 Mei hingga 1 Jun.
Antara program baharu yang diperkenalkan dalam edisi ke-42 ini termasuk Galeri Khas TEROKA, yang memberi penghormatan kepada keagungan karya tempatan serta sejarah dunia perbukuan negara, merangkumi karya klasik dan moden.
Turut hadir pada majlis penutup itu ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.