Tuesday, 3, June, 2025
Utama Gaya Hidup Pelajar Malaysia di Jepun disaran contohi budaya kerja berdisiplin – Fahmi

Pelajar Malaysia di Jepun disaran contohi budaya kerja berdisiplin – Fahmi

oleh Ammar Haziq

TOKYO: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menasihati pelajar Malaysia di Jepun agar memanfaatkan peluang menimba ilmu dan menghayati budaya kerja masyarakat negara itu yang terkenal dengan tahap disiplin tinggi sebelum kembali berbakti kepada tanah air.

Menurut beliau, pengalaman bekerja di Jepun dapat memberikan nilai tambah kepada pelajar Malaysia, selain membentuk sikap profesional yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan negara apabila mereka pulang kelak.

“Insya-Allah, sekarang kita berada di satu kedudukan yang baik termasuk dari segi ekonomi dan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
“Jadi saya harap anda semua ambil kesempatan belajar di sini, cari peluang untuk bekerja… kemudian pulang ke tanah air dan berkhidmat kepada negara,” katanya.

Fahmi berkata demikian ketika menghadiri majlis makan malam bersama diaspora dan pelajar Malaysia di Tokyo, sempena lawatannya ke Jepun.

Beliau berada di Tokyo bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Asia Pacific Telecommunity (APT-MM) 2025 yang berlangsung dari 30 hingga 31 Mei. Mesyuarat itu antara lain bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang telekomunikasi dan teknologi maklumat.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Anwar Udzir serta warga kedutaan.

Seramai 38 individu menyertai sesi ramah mesra dan makan malam berkenaan, terdiri daripada 11 ahli diaspora Malaysia dan 27 pelajar dari pelbagai universiti di sekitar Tokyo.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com