KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah ucapan tahniah dan doa ke hadrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena ulang tahun keputeraan rasmi Baginda yang disambut hari ini.
Dalam kenyataan rasmi beliau, Anwar turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Raja Permaisuri Agong, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah serta mendoakan semoga seluruh keluarga diraja dilimpahi rahmat, kesejahteraan dan terus dikurniakan kesihatan serta kekuatan memayungi negara dan rakyat.
“Sesungguhnya, titah-titah Baginda sentiasa menjadi panduan luhur dalam membentuk dasar dan melaksanakan tanggungjawab demi memastikan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh keteguhan Malaysia dalam mendepani cabaran global termasuk ketegangan geopolitik dan tarif perdagangan.
“Langkah-langkah strategik telah diambil secara menyeluruh bagi melindungi industri, perniagaan dan kebajikan rakyat.
“Keutuhan negara tidak hanya terletak pada angka pertumbuhan semata, tetapi pada kekuatan daya tahan rakyat. Kemajuan sektor agro-tani, produk tempatan dan ketahanan industri domestik menjadi teras yang memperkukuh ekonomi negara,” tambah beliau.
Tambahannya, sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia turut memperkukuh peranannya dalam diplomasi serantau dan Sidang Kemuncak ASEAN yang lalu disifatkan antara yang paling bersejarah apabila buat pertama kalinya, Malaysia berjaya mempertemukan tiga kuasa besar negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), China dan ASEAN.
Kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN dan LIMA 2025 adalah bukti semangat kerja berpasukan antara sektor awam dan swasta serta kekuatan institusi keselamatan negara termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menyentuh agenda masa hadapan, Anwar memaklumkan bahawa Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan.
“Pembangunan infrastruktur seperti ECRL, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSEZ), sekolah, hospital dan kemudahan awam akan terus dipertingkatkan secara menyeluruh.
“Dalam usaha menjamin kemakmuran jangka panjang, strategi peningkatan pendapatan rakyat melalui pelaburan berkualiti tinggi, pemerkasaan PKS, serta pengukuhan teknologi dan inovasi turut diperkasakan,” katanya.