Friday, 6, June, 2025
Utama Mahkamah & Jenayah Anwar akan rayu keputusan mahkamah persoalan undang-undang, termasuk isu imuniti

Anwar akan rayu keputusan mahkamah persoalan undang-undang, termasuk isu imuniti

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan, termasuk isu imuniti daripada saman sivil.

Peguam beliau, Datuk Seri K Raja Segaran, berkata rayuan dibuat berdasarkan Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, bagi memastikan Anwar tidak terdedah kepada prosiding yang mungkin akhirnya didapati tidak sah menurut Perlembagaan.

“Kami dengan penuh hormat tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan anak guam, kerana lapan soalan yang dikemukakan bukanlah bersifat abstrak atau akademik.

“Sebaliknya, ia membabitkan isu perlembagaan yang serius dan belum diselesaikan, termasuk perlindungan terhadap fungsi eksekutif, risiko litigasi yang bermotifkan politik, serta skop Perkara 5(1), 8(1), 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara ini membabitkan implikasi perlembagaan yang meluas dan memerlukan penjelasan yang muktamad oleh mahkamah tertinggi negara,” katanya ketika sidang akhbar pada Rabu.

Selain memfailkan rayuan, Anwar turut memohon penangguhan prosiding saman sivil oleh bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther, yang mendakwa beliau telah diserang secara seksual empat tahun lalu.

Perbicaraan kes itu dijadualkan bermula pada 16 hingga 19 Jun serta 23 hingga 25 Jun.

Pada Rabu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar selepas Hakim Roz Mawar Rozain mendapati ia tidak memenuhi peruntukan Seksyen 84 CJA 1964.

Menurut Hakim, tiada satu pun peruntukan dalam Perlembagaan yang menimbulkan persoalan undang-undang perlembagaan yang nyata atau substantif hingga memerlukan penentuan oleh Mahkamah Persekutuan.

Pada 23 Mei lalu, Anwar memohon Mahkamah Tinggi merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan bagi diputuskan, antaranya sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil termasuk yang difailkan Yusoff.

Berdasarkan permohonan yang difailkan oleh firma guamannya, Tetuan Zain Megat & Murad minggu lalu, Pengerusi Pakatan Harapan itu memohon agar Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.

Beliau turut memohon agar mahkamah mempertimbangkan sama ada saman tersebut menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif serta melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan.

Anwar juga mahu mahkamah menentukan sama ada prosiding saman tersebut melanggar haknya untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang seperti diperuntukkan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, terutamanya kerana beliau mendakwa saman tersebut merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada tahun 2021, mendakwa bahawa beliau telah diserang di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com