PUTRAJAYA:Putrajaya bakal menyaksikan pelaksanaan projek pembangunan strategik baharu dikenali sebagai Kota Madani yang melibatkan kawasan seluas 41 hektar, sekali gus mengukuhkan lagi peranan bandar itu sebagai model pembangunan mampan dan inklusif.
Projek berintensiti tinggi dan berkonsepkan pembangunan vertikal itu akan merangkumi pembinaan 10,000 unit kuarters kediaman yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk, selain mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital canggih serta sistem mobiliti hijau.
Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pembinaan Kota Madani selari dengan visi Bandar CHASE yang menekankan aspek keterangkuman, kemampanan dan teknologi.
“Hari ini saya berkesempatan membentangkan konsep pembangunan Kota Madani kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Projek ini merupakan satu pelaburan strategik jangka panjang dalam merangka agenda pembangunan mampan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Tambah beliau, majlis pecah tanah projek Kota Madani dijadual berlangsung pada 26 Jun ini.